Jumaat, 29 Ogos 2008

Rumah Kotak

Terperangkap di pojokan itu
Berteman kipas angin yang berjelaga
Rimas
Ah! Sesaknya!

Di pinggir jalan utama
Di tengah pusat kota
Mahu pun di pinggir bandar sana
Kuatnya kotak-kotak itu
Tak ada beranda, cuma tingkap

Ada yang baru
Ada yang lama
Tua ( lebih banyak umur dari aku)
Mereka perlu pembaharuan

Suara dari dinding kotak
Jerit-jerit anak kecil dalam buaian
Suara juruhebah radio hiaskan udara
Bunyi dengkuran pak cik-pak cik tua
Sambil dituruti bunyi keriutan kerusi malas (undur, maju)

Hidup kos rendah
Wang cukup-cukup makan
Tapi tak semuanya tertekan
Sebab kekayaan pun (terkadang) tak beri kepuasan

Isnin, 25 Ogos 2008

Perihal Apa?

Rentasi ombak masa
Lawani arus dewasa
Bukan senang, ya

Gedung-gedung mega
Pencakar langit yang gah
Aku bisik pada diri
Inilah cerita hidup di kota

Bersenjatakan SPM pangkat 2 (hampir jadi pangkat 3)
Loloskan diri ke kolej kejuruteraan
Dapat kerja hebat, tapi bebasku tersekat
Kerana tiada nikmat yang padat

"Kau harus jadi manusia!" - kata setan dalam hati
"Aku butuh waktu!" terjahku padanya

Aku punya cara
Aku miliki agenda
Aku tak bodoh
Monash atau RMIT bukan ukuran

Otak harus cari jalan
Minda harus tetapkan aturan
Cari cara mahu hidup (walau bukan 1,000 tahun)
Gunakan rupa dan kepandaian untuk cari makan

Asal jangan gadai diri
Asal jangan dengki iri
Walau bukan lulusan luar negeri
Rezeki aku tetap menanti


- Bangunan Yayasan Syed Kechik, Bangsar

Ahad, 24 Ogos 2008

Bukan Asmara Picisan

Aku (tika ini)
Di bawah suhu penghawa dingin
Diselimut cinta tebal
Dihadapi wajah kaseh

Aku
Dijanjikan sejahtera
Ditinggalkan duka lara ( sudahkah?)
Ah! Aku terhidu sebuah bahagia

Selasa, 19 Ogos 2008

Biar

Biar siang
Biar malam

Bia terang
Biar gelap

Biar ribut
Biar petir
Biar taufan
Biar tsunami
Biar gempa

Biar itu semua datang
Biar mereka semua halang
Biar aku diserang askar-askar cemburu
Biar kau ditakluk lanun-lanun dengki
Biar kita ditawan tentera-tentera hasat

Aku tetap degil
Mahu ikut kau

Isnin, 18 Ogos 2008

Matahari

Pancarkan di waktu pagi
sinar terang itu
Malapkan sedikit warna jingga itu
bila senja datang

Wajah riang-ria
Senyum seikhlas hati
Ketawa puas-puas
Seperti esok sudah tak ada lagi

Itulah aku yang bak matahari
Panasnya panjang bila hati girang
Redup sekejap bila jiwa suram

Rabu, 13 Ogos 2008

Biarkan Peristiwa Itu Ada

* Buat Khairul Nizam Mois
Walaupun aku tak kau terhubungi
Tapi buat aku
mengingati kau tak pernah terkemudian

Itulah titah hati
Tak pernah gagal aku patuhi
Biar peristiwa cuma tinggal peristiwa
tapi aku akur suruhan jiwa
untuk kau , dia dan aku terus hidup sejahtera

Ufuk pagi yang bakal jelma di esok hari
akan aku isikan dengan ingatan paling dalam
paling indah
paling tulus
tentang kita

Biarkan peristiwa itu ada
Biarkan kejadian kasih sayang kita kekal selama
kerana kisah kasih ini takkan ada kontangnya
walau tiada kita bersama

Bangunan Yayasan Syed Kechik, KL.

Isnin, 4 Ogos 2008

Berat

* Diadaptasi dari puisi "Lekat" oleh Khairul Nizam Mois


Bermula dari permintaan yang berat

Kemudian kau datang dekat-dekat

Mahu yang bukan-bukan

Cakap yang enak-enak

----

Aku ikut kau, tanpa degil

Terus rasa lekat (angkara gam halusinasi)

Aku akur tuntutan setan

( lalu dekatkan diri pada kau)

----

Yang sarat dah jadi berat

Tak mungkin antara kita ada yang larat

Iblis cinta memang keparat

Melupakan kau ku tiada kudrat

----



* ditulis kala beban rindu semakin melarat, sambil naluri aku ini tersayat hiba. Bangsar, KL

Jumaat, 1 Ogos 2008

Sedang Aku Ingin..

Melupakan (yang tidak mudah bagi aku))
Mengakhirkan (yang senang untuk kau buat)
Memadamkan ( yang pasti sudah kau tugaskan untuk aku)

Datang lagi baris-baris hiba
Jelma lagi bait-bait gundah
Jumpa lagi wajah-wajah kasih (tapi entah bila)