Rabu, 16 April 2014

Raja


"Raja adil raja disembah. Raja zalim raja disanggah".

Semulia-mulia seorang raja adalah raja yang menganggap darah baginda sama merahnya dengan sekalian rakyat marhaen. Raja idaman jelata adalah raja yang tak mendabik dada, menyimpan murka baginda dan bukan gila disembah.

Mitos atau tidak, Jebat tetap di hati.

"Hendaklah kamu membawa gendang dan palu agar raja yang sentiasa beradu akan bangun dan segera bertanya apakah angkara orang Melaka di malam hari hingar dan bising mengganggu beta yang sedang nyenyak beradu"

"Wahai orang-orang Melaka berkumpul dan beraraklah kita pada malam ini ke istana. Amarah kamu itu adalah amarah aku juga. Amarah aku itu adalah amarah seluruh roh di Bukit China. Amarah kamu itu adalah amarah cucu-cicit Penghulu Tanjung Keling. Amarah kamu ini adalah amarah cucu-cicit Wan Empok Wan Malini anak cucu-cicit dari Bukit Seguntang Mahameru" 

Ayuh fikirkan. Mari kenangkan. 

"Taat Tuah Taatkan Rajanya, Taat Jebat Taatkan Saudaranya"

Tidak hairanlah jika Jebat pernah suatu masa dahulu mewasiatkan orang-orang Melaka bahawa dunia ini hanyalah untuk orang yang berani.

Pantun Hari-Hari


Pukul kompang pukullah gendang,
Jiwa bernyanyi sambil berangan;
Kalau teman lagi meradang,
Serang jangan ditegur pun jangan.

Pagi-pagi sudah meracau,
Khabar sini khabarlah sana;
Hidup orang lagi dipantau,
Diri sendiri tak kurang durjana.

Simpan kalung di dalam laci,
Cincin kekal sarung di jari;
Biarlah diumpat malah dicaci,
Teruskan saja menjalani hari.

Batu zamrud si batu intan,
Di dalam kotak di tepi bangsal;
Muda-muda harus menyimpan,
Dah senja nanti tidaklah kesal.

Santun dan pekerti biar sebati,
Ucap syukur hingga tak sudah;
Mulut dijaga laku diperhati,
Gaya ditata adab diperindah.


Gula-Gula Getah

Gula-gula getah
warna merah jambu
kadang-kadang kukunyah yang biru
lama lumat dalam mulutku
warnanya tetap utuh begitu

Gula-gula getah
makin hilang rasa manis
makin kuat gegetah itu
makin likat
calitkan di mana-mana
pasti berbekas, hilang tak pantas.




Rima Berirama


Unggun dipasang buat menggulai,
Makan bersila di depan anjung;
Rupa indah molek perangai,
Di mana berada kelak disanjung.

Carik-carik si kain buruk,
Dulunya jadi baju basahan;
Dinda ibarat belacu yang lapuk,
Manakan kanda mahu berkenan.

Sungguhlah panjang tali belati,
Lama diasah tajamlah pisaunya,
Makin kupandang binasalah hati,
Mahu kuidam takut dah berpunya.

Indah bicara petah tuturnya,
Bercapal berbaju Melayu teluk belanga;
Betapalah hati pantas dicurinya,
Dinda yang memandang hingga ternganga.

Dua tiga kain kusidai,
Manakan sama si sutera Cina;
Dua tiga boleh kugapai,
Takkanlah sama kanda di sana.

Jatuh bangku terbaring tiarap,
Lantailah dari si batu-bata;
Sedangkan berbatu kujejak harap,
Inikan pula di depan mata.

Cari-cari tulang belikat,
Lenguhnya sampai terbawa-bawa;
Pabila hati sudah sepakat,
Lapanglah dada tenanglah jiwa...