Rabu, 4 April 2018

Perihal perasan dan angan-angan


Jam tangan Citizenku baru menunjukkan pukul 1.46 petang. Jarak ke tempat kerja dari rumah tidaklah jauh sangat, barangkali dua tanak nasi. Hari ini aku bernekad untuk menggandakan jumlah jualan semalam. Aku kira-kira dengan bayaran RM5 sejam (belum termasuk komisen) memang tak cukup untuk aku beli motosikal hujung tahun ini. Dengan itu, aku harus ada strategi baru untuk capai target jualan baju dalam berjenama Maidenform, iaitu tempat kerja aku di pasaraya Ocean sejak tiga bulan lalu. Pada sebelah pagi, aku ke kolej. Selesai belajar, aku kerja separuh masa untuk menambah duit kocek. Anak orang susahlah katakan.

Dalam cuaca panas begini, memang haru kalau naik bas. Sampai berpeluh anak tudung dibuatnya. Bau kepamnya nanti tak usahlah cakap. Aku sengaja bertolak agak awal selepas kelas, supaya aku boleh makan dengan tenang setibanya di gedung Seremban Centrepoint nanti, yakni sebelum aku "punch card" pada jam 2.45 petang. Aku ingat hari ni nak makan ayam goreng Marrybrown dengan kentang lenyek. Rasanya budak bernama Ahmad Bakhtiar tu kerja shif petang minggu ni. Entah pernah dia tahu kewujudan aku entah tidak selama aku makan di sana tiap hujung bulan lepas dapat gaji. Hmmm  ... dah memang nasib orang tak lawa macam aku. Badan pulak macam tak cukup zat, bak kata sepupuku Noradila.

Kadang-kadang, adalah dalam dua tiga kali sebulan bila aku rasa "loaded" sikit aku akan naik teksi ke tempat kerja, walaupun RM2 sehala adalah sangat mahal untuk pelajar sengkek macam aku. Tapi kebelakangan ni perangai berangan aku makin menjadi-jadi maka amatlah sesuai jika aku naik bas saja, barulah dramatik macam filem-filem Stanley Kubrick. Dari tadi bau minyak Cap Kapak menguasai ruang depan bas. Itu taklah teruk sangat kalau dibandingkan dengan bau minyak rambut Tancho. Boleh bikin aku ambil MC untuk dua hari. Aku rasa pak cik berbangsa Serani selang dua baris tempat duduk di belakangku baru pulang dari hospital. Di pergelangan tangan kirinya terlihat kantung plastik ubat-ubatan yang nampaknya dari Hospital Daerah Seremban. Masih belum sembuh barangkali. Selipar Tat Sing yang dipakainya pula hampir putus, sejujurnya aku sangat berharap dia sempat sampai ke rumah sebelum selipar tersebut menjadi arwah. Kasihan. Tak ada yang menemannya pulang pergi. Entahkan ada anak-anak atau tidak.

Angan punya angan, dah nak sampai rupanya. Habis saja lagu Cinta Antara Benua nyanyian Arni Nazira yang sedang berkumandang, maka sampailah aku di perhentian bas di hujung Jalan Dato' Siamang Gagap (aku masih belum selidik sejarah di sebalik nama jalan ini). Macam tak realistik aja cinta jarak jauh, sampai dibuat lirik lagu, kataku dalam hati. Bukan main lagi aku menghakimi benda yang aku sendiri tak pernah rasa.
>
>
>
>

Tapi kalau dapat boyfriend Mat Saleh macam Tom Selleck seronok juga. Eh. 

Oh dah sampai rupanya. Sempat kena jeling kakak di sebelah kerana turun bas lambat lepas tekan loceng. Nasib baik comel sebab pakai T-shirt Fido Dido. Kalau tak, memang aku dah jeling balik. Waktu menuruni tangga bas, aku macam dengar dia jerit sesuatu padaku, tapi aku dah atur langkah laju ke Marrybrown sampai tak dengar butirnya. Oh demimu Ahmad Bakhtiar.

Setibanya aku di sana (setelah menolak pintu yang jelas sekali bertanda "tarik"), aku terus menerpa ke kaunter yang ditugasi budak lelaki idaman Seremban Tengah, Ahmad Bakhtiar Bin Ahmad Puad. Aku cuma tahu namanya dari tanda nama yang tertera di atas pakaian seragam, manakala nama ayahnya kuperolehi dari hasil selidikan Wan Azizi, budak Kelantan upahanku yang merupakan rakan sekerjanya di shif pagi. Bagaikan ku tak percaya, pandangan sepasang mata coklat itu hinggap di mukaku tanpa berkedip, dan kemudiannya ke atas dadaku. Kalaulah jarum detik di jam dinding boleh menjadi saksi ...

"Awak... saya perlu beritahu awak sesuatu .. errr...."
"Ahmad Bakhtiar .. usahlah khuatir. Aku jua begitu ..."
"Huh?'
"Saya pun dah lama sukakan awak"
Saat ini aku pasti gerak bibirnya mengatakan "oh .. shit".
"Sebenarnya ... blaus awak tertanggal butangnya.."

Memanglah benar bagai dikata, berangan itu percuma. Tapi tidak dalam hal ini, yang harus kubayar dengan harga diriku yang nampaknya sangat rendah. Patutlah  Mak Mah pernah berkata, penyakit perasan itu buruk padahnya. Oh 1998.